Nooh Gadut : ‘Selfie Selepas Solat Tarawih Boleh Hapus Semua Pahala Ibadah’
Perbuatan menangkap gambar sendiri dengan menggunakan telefon pintar atau ‘selfie’ selepas menunaikan solat atau Tarawih di masjid dan menyiarkannya di media sosial dengan niat riak dan mahu menunjuk-nunjuk disifatkan boleh menghapuskan pahala ibadah.
Pengerusi Majlis Agama Negeri Johor (MAINJ) Datuk Nooh Gadut berkata, penerangan itu sudah jelas di dalam doa Iftitah yang dibaca setiap kali solat dan menyebut fokus ibadah adalah keutamaan dalam keikhlasan seseorang individu.
“Khusyuk dalam solat dan fokus semasa bersembahyang penting dalam ibadah. Semasa beribadah ini kita perlu tinggalkan alam dunia dan bukan menunjukkan kita sudah beribadah kepada seluruh dunia.
“Apa tujuan kita ke masjid? apakah kita hendak memberitahu mahu bergambar ‘selfie’? Di situ keikhlasan beribadat sudah tidak ada,” katanya.
Nooh mengulas sikap sesetengah masyarakat yang gemar mengambil gambar di masjid selepas beribadah dan memuat naik di laman sosial seperti Facebook.
Tegasnya, perbuatan selfie selepas beribadah turut membatalkan khusyuk dan keikhlasan.
“Riak dan takabbur ini menghapuskan pahala ibadah. Kita tanya diri sendiri hendak sembahyang ke hendak berselfie?
“Ibadah sama seperti bersedekah, konsepnya jika tangan kanan memberi, tangan kiri tidak sepatutnya tahu.
“Malu apabila dunia lihat sikap orang Islam yang berselfie dan menunjuk di laman sosial. Tidak ada gunanya kalau pergi beribadat di masjid dan pulang tanpa dapat pahala,” jelasnya
Sebelum ini, sebuah portal menyiarkan kenyataan Nooh yang menyifatkan perbuatan segelintir masyarakat yang sengaja menyebarkan berita palsu melalui pelbagai saluran media amat ditegah oleh agama dan boleh dianggap menempah tiket ke neraka.
Tegas Nooh, tindakan itu boleh menimbulkan kekacauan kepada manusia dan menunjukkan ciri-ciri orang munafik.
Sumber : hanasuva.com
0 Response to "Nooh Gadut : ‘Selfie Selepas Solat Tarawih Boleh Hapus Semua Pahala Ibadah’"
Post a Comment