Entah bila dukanya akan berakhir. Menyoroti kisah hidupnya membuah simpati berganda ganda. Dari kecil hidup dalam keluarga yang porak peranda. Mama dan papa bercerai setelah mempunyai anak 3. Ketika umurnya baru 3 tahun. Adiknya masih menyusu susu ibu. Kegawatan ekonomi negara telah menyebabkan papanya diberhentikan kerja. Banyak kilang perusahaan terpaksa berhenti operasi atau mengecilkan kos operasi.
Kehilangan pekerjaan membuatkan papanya mencari kerja di tempat baru. Namun suasana tempat baru tidak sesuai dan mendatang ketegangan dalam pemikiran. (stress)
Mamanya pula berhadapan masalah papa yang cemburu kerana mama tidak diberhentikan kerja. Papa mula main kasar dengan membuat ancaman terhadap keluarga sekiranya mama terus keluar bekerja. Sedang mama perlu bekerja setelah papa tidak dapat menyesuaikan diri ditempat kerja baru dan sering cuti.
Papa mula mengasah pisau depan mama. “kalau kita mati, baik kita mati bersama sama.”
Mama takut dengan ancaman papa. Tanpa memikirkan sebarang risiko, mama lari dari rumah dan pulang ke kampung meninggal anak-anak bersama papa.
Apabila mama pulang ke kampung, papa juga pulang ke kampung menjejak mama. Di kampung mereka bergaduh dan akhirnya papa menceraikan mama.
3 orang anak, papa tidak benarkan diserah kepada mama, sebalik papa serah kepada nenek sebelah papa untuk dipelihara.
Membesarlah 3 beradik ini dibawah asuhan nenek. Suatu kesilapan besar, apabila nenek mengasuh mereka dengan manja yang berlebihan. Ikut saja kehendak cucu. Malas sekolah dibiarkan. Tidor sampai tengahari dibiarkan hinggalah mereka menginjak remaja. Apa kerja rumah pun nenek suruh mereka tak buat, nenek biarkan. Nenek dah tua, tidak ada upaya mahu memaksa.
Apabila nenek merasa ajalnya makin hampir, nenek mencari mama mereka. Nenek menyerahkan semua anak anak kepada mama. Nenek kata, “papa telah berkahwin dengan orang Kedah, selepas berkahwin, tak pernah pulang dan ambik tahu hal anak anak. Jadi,kamu ambiklah anak anak kamu ni, cek rasa nak mati.”
Benar, sebulan selepas menyerahkan anak anak kepada mama, nenek meninggal dunia.
Tinggallah anak anak dengan mama. Mama juga telah berkahwin tetapi status isteri kedua. Bukan mudah mama melalui kehidupan berpoligami.
Anak anak yang lebih 10 tahun tidak diasuhnya menjadi remaja yang liat, tidak mendengar kata dan manja tidak bertempat. Selama dengan nenek, minta apa saja , boleh dapat. Nenek pula tidak ada upaya mahu melarang apa yang mereka suka buat. Dengan mama, perbelanjaan sangat berhemah. Mama cuma kerja sebagai penjaja kuih. Pendapatan mama kecik. Anak anak memberontak apabila apa yang mereka mahu tidak dapat. Bapa tiri pulang sekali sekala , tidak dapat membantu mama mengasuh anak anak yang degil dan tidak dengar kata.
Mama mula rasa sangat tertekan. Anak anak dibiarkan tidak bersekolah. Ketika itu yang sulung berumur 15 tahun, yang nombor dua berumur 13 tahun dan yang kecil 11 tahun. Yang paling bermasalah, degil dan tidak dapat dibentuk ialah yang nombor dua. Remaja perempuan. Cuma bersekolah hingga tingkatan 1. Umur 14 tahun sudah tidak mahu bersekolah, suka merayau kemana suka. Suka menonton TV dan berilusi kehidupan yang mewah.
Tidak mahu sekolah, apa lagi belajar sembahyang. Nama saja muslim tetapi kehidupan seperti tidak bertamadun. Pakai baju apa suka, cakap mencarut maki hamun saja. Pengaruh dari filem filem yang ditonton.
Bekerja dimana mana pun tidak pernah lama. Sikap panas baran dan tidak berdisplin menyebabkan majikan pun tak mahu mengupah kerja lama lama.
Ketika umur 18 tahun, zina yang sering dilakukan telah membuahkan hasil. Remaja ini mengandung tanpa suami. Pelaku tak mengaku itu anaknya. Memang tidak ada sesiapa yang sudi bertanggungjawap atas dirinya. Melihat perubahan dirinya ketara, mama berusaha mencari rumah perlindungan. Mama mahu remaja ini sedar kesilapannya. Mama mahu dia berubah. Mama tahu, mama tidak berupaya mendidik anak taat kepadanya kerana ketika saat kanak kanak yang haus kasih ibu mereka terpisah. Mama kesal. Jadi mama mahu tebus kesilapan lalu dengan mencari rumah perlindungan. Mama mengharap rumah perlindungan mampu mentarbiyah anak mama yang degil ini.
Remaja ini dihantar ke rumah perlindungan dengan harapan yang tinggi. Rumah perlindungan dapat mendidik anaknya menjadi anak solehah dan mendisplinkannya untuk taat mengerjakan suruhan agama.
Sebulan yang pertama anak ini nampak jinak dan nampak mahu berubah. Walaupun ada juga beberapa buah perlakuan yang tidak disenangi, rumah perlindungan bertindak mendiamkan dahulu. Yang penting, anak ini boleh menyesuaikan diri terlebih dahulu. Masuk bulan kedua, anak ini mula buat cerita.Ada orang selongkar almari pakaiannya. Dia merasa, bila orang berbual, orang itu mengata dirinya. Dia rasa ada orang mengalihkan barang barangnya.Dan dia mula rasa mama membuangnya apabila mama jarang menelefon tanya khabar dirinya. Dia merasa kawan kawan tak suka dirinya. Dia merasa ada orang pilih kasih. Dan berbagai bagai tanggapan negatif mula bermain dalam fikiran yang telah mempengaruhi emosi.
Benar benar mencabar. Selama ini dia hidup bebas melakukan apa saja, tetapi bila berada di rumah perlindungan, dia terkurung. Tak boleh kemana mana, takde handphone, takde gadjet dan takde TV. Jiwa dalaman memberontak.
Hinggalah suatu hari dia dapat bercakap dengan mama, minta mama membawa dia pulang semula ke rumah. Mama cakap tidak boleh. Mama mahu dia berubah. Mama mahu dia sedar kesalahan dan kesilapannya selama ini.
Dia jadi marah. Esoknya mama sudah tidak mahu bercakap dengannya ditelefon. Dia memberontak. Emosinya terganggu hingga hilang kawalan. Menggunakan pisau mengupas bawang, dia mahu menikam perutnya. Dia merasa marah, kerana anak dalam kandungan, dia terkurung. Dia tak mahu anak itu.
Perlakuannya mahu menikam perut disedari rakan. Usaha menenangkan keadaan membuatkan tindakan mencederakan diri sendiri terhenti. Bila sudah tenang, dia dibawa ke ruang rehat. Di ruang rehat, kawan baiknya menasihati supaya bertenang. Mungkin kawan ini banyak cakap, orang yang bingung, hati telah tertutup merasa marah. Dicekiknya tudung kawan tu sampai pucat lesi. Rontaan kawan tu untuk melepaskan diri tidak berjaya. Cengkamannya sangat kuat. Kuat kerana syaitan sudah bersatu memberikan kuasa. Cara apa nak pulihkan orang yang sudah kerasukkan syaitan?
Beri penampar saja supaya dia tersedar. Syaitan perlu dijauhkan. Istigfar dan takbir tidak dihiraukan. Penampar berhemah perlu diberikan, bukan penampar yang diselungi rasa marah. Bukan menampar untuk mencederakan. Jaga jaga…ilmu mesti ada untuk menyedarkan orang yang sudah kerasukan syaitan. Waktu pulak benar benar antara siang dengan malam, waktu syaitan sedang berkeliaran. Penampar ketiga, menyebabkan dia lemah, dan melepaskan cengkaman. Kemudian dia duduk membatu diri dan menangis. Menjerit jerit “mama, mama, nak mama”
Apabila mula agresif, polis dipanggil. Terus peronda bertindak membawa ke Balai Polis untuk menenangkan keadaan. Satu malam bermalam di Balai Polis, dengan laporan polis yang dibuat membolehkan dia dirujuk ke hospital jabatan Psikiatri. Warisnya adalah mama. Mama adalah waris tunggal . Dalam hal begini, hak penjagaan sementara penjaga rumah perlindungan telah luput sebaik laporan polis dibuat. Mama dihubungi mohon beri kerjasama untuk diambil keterangan. Malam berikutnya baru mama tiba di Johor Bahru.
Esoknya mama beri keterangan kepada pegawai perubatan dan pakar psikiatri. Mama dan dia bertemu kaunselor. 2 hari diberikan kaunseling. Mulanya pihak hospital beranggapan dia sudah stabil dan dibenarkan pulang. Mama minta tangguh dahulu. Mama belum habis fikir. Walaupun begitu, mama telah datang ke rumah perlindungan untuk mengambil semua barang barang anaknya dan menandatangani dokumen daftar keluar. Apabila mama sudah tanda tangan daftar keluar rumah perlindungan, penjaga rumah perlindungan sudah tidak ada hak apa apa lagi ke atas anaknya.
Tetapi mama tidak mahu membawa pulang ke rumah mama. Mama tidak sanggup menghadapi sebarang risiko sendirian. Mama mahu dia berada dimana mana rumah perlindungan lainnya. Mama tidak berani berhadapan dengan risiko kerana selama ini jika dilarang sesuatu perkara dia akan membuat ancaman. Itu yang dia sudah mula membuka pekungnya selama ini. Teserlah sudah sikapnya selama ini terhadap mama yang menyebabkan mama tidak berjaya mengasuhnya. Dia suka mengugut untuk mencederakan dirinya atau orang lain. Sikap ini tidak mampu dia sorok, dan akhirnya terbuka juga. Inilah antara risiko mama tidak berani membawa dia pulang ke rumah. Apatah lagi mama kerap tinggal sendirian dirumah. Mama mahu dia dimasukkan semula kemana mana rumah perlindungan, tetapi dia menolak. Mama minta tangguh dahulu untuk membawa pulang. Dalam diam, mama pulang ke rumah di Selangor. Meninggalkan perkara ini tergantung tanpa keputusan.
Pihak hospital pun tidak boleh memaksa mama bawa pulang jika memang dia berisiko. Maka dalam mesyuarat pagi yang dihadiri beberapa jawatan kuasa yang pakar, mereka memutuskan dia yang tidak mahu kemana mana rumah perlindungan agar terus menetap di wad psikiatri hingga melahirkan anak. Allahu Akbar…keputusan yang sungguh menyebab derita jiwa lahir batin.
Musibah hamil tanpa suami sudah berat, tinggal di rumah perlindungan akan membawa ketenangan dan merupakan jalan keluar untuk menjaga maruah keluarga dan menutup aib diri. Dibimbing bertaubat, diberikan ilmu untuk berubah menjadi lebih baik. Dapat meneruskan kehidupan dijalan yang Allah redha. Tetapi apabila terpaksa tinggal di wad rawatan jiwa, musibah apakah ini? Solat belum tentu terjaga, tidak ada yang menyampaikan ilmu dan pembimbing untuk mendidik hati dan iman.
Ambilah iktibar dan pengajaran, selepas suatu musibah berlaku, jangan diberatkan lagi musibah itu. Mohonlah pertolongan Allah. Betulkan niat untuk berubah kerana Allah semata mata. Allah tahu siapa yang terpesong niatnya. Allah akan membolak balikkan hati dan membuka aibnya kerana niat yang tidak bersih semata mata kerana Allah. Alangkah duka, hilang sinar bahagia.
Inilah kisah yang duka, apabila telah ditimpa suatu musibah, bertaubatlah dan sungguh sungguh mohon ampun kepada Allah, minta kepada Allah kekuatan untuk menghadapinya dan jangan musibah itu berterusan dan bertambah sukar.
Penting bersyukur apabila musibah itu sudah nampak jalan keluar. Jangan ditambah-tambah sukar keadaan.
Orang lain hanya mampu berusaha menolong, namun segala yang berlaku atas kehendak Allah atas sikap diri sendiri juga.
Kepada ibu bapa diluar sana, jika mahu bercerai pun, fikirkanlah nasib anak anak… emosi, perasaan, penjagaan dan pengasuhan. Bukan setakat nak beri makan minum untuk anak membesar tetapi jiwanya yang lara, kosong dan kesanya. Untuk apa kita melahirkan anak jika kita sendiri mengabaikan dan mementingkan diri sendiri. sekali kita tersilap langkah jangan ulangi . Tebus kembali bila ada peluang untuk memperbaiki keadaan. Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
Astagfirullah ha Ghafururahim.
#BaitusSolehah bersedia membantu membimbing kepada mereka yang niatnya benar benar mahu bertaubat nasuha dan berubah.
Sumber Baitus Solehah
0 Response to ""Ambil Balik Anak Kamu, Nenek Rasa Dah Nak Mati…""
Post a Comment